Friday, June 20, 2008

Kelebihan-kelebihan Ukhuwah Fillah...

2. KELEBIHAN-KELEBIHAN UKHUWAH FILLAH.

Oleh kerana ukhuwah fillah itu anugerah Rabbani dan Rahsia Yang Maha Suci; oleh kerana ia merupakan tindakan yang dilazimi oleh keimanan dan disertai oleh ketakwaan; oleh kerana baginya ada kesan-kesan positif dan nilai hubungan kemasyarakatan, maka sesungguhnya Allah taala telah menjadikan baginya kemuliaan dan kelebihan, ketinggian darjat dan ganjaran yang mendorong generasi Islam supaya mencari kemuliaannya, merealisasikannya, bersungguh-sungguh terhadapnya, menyelaminya, berjalan di taman-tamannya dan menghirup wangiannya. Mudah-mudahan mereka menjadi yang paling murni di kalangan orang-orang yang beriman, dan yang paling baik di kalangan orang-orang yang bertakwa.

Jadi marilah kita sama-sama menghayati haruman bunga-bunga pesanan Nabi s.a.w dalam usaha menjelaskan kemuliaan ukhuwah fillah dan ketinggian darjat orang-orang yang bersaudara di sisi Allah taala.

SESUNGGUHNYA WAJAH MEREKA DISINARI CAHAYA

Yang demikian itu ada diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Baginda bersabda: "Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah terdapat segolongan manusia yang mana mereka ini bukan para Nabi dan bukan pula syuhada', akan tetapi para anbiya' dan syuhada' bercita-cita untuk mencapai martabat mereka di sisi Allah" Lantas para sahabat bertanya: "Ya Rasulallah, khabarkanlah kepada kami siapakah mereka itu?" Lalu baginda bersabda: "Mereka adalah kaum yang berkasih sayang dengan roh Allah, bukan kerana ikatan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah! Sesungguhnya wajah-wajah mereka disinari cahaya, dan sesungguhnya mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak gentar saat semua manusia ketakutan, dan mereka tidak bersedih saat semua manusia kesedihan."


SESUNGGUHNYA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG DIAMPUNKAN DOSANYA

Yang demikian itu telah diriwayatkan oleh Tobraniy daripada Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya apabila seorang muslim itu bertemu saudaranya lantas dia memaut tangannya (bersalaman); nescaya gugurlah dosa-dosa daripada keduanya sebagaimana gugurnya dedaunan dari pohon yang kering pada hari angin bertiup. Melainkan diampunkan dosa-dosa keduanya walaupun sebanyak buih di lautan."

SESUNGGUHNYA MEREKA BERADA DI BAWAH NAUNGAN ALLAH PADA HARI KIAMAT

Yang demikian itu ada diriwayatkan oleh Muslim daripada Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah taala berfirman pada hari kiamat: Di manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana Keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan payungi mereka di bawah naungan-Ku iaitu hari yang tiada lagi naungan melainkan naungan-Ku"

SESUNGGUHNYA MEREKA DI BAWAH LINDUNGAN KASIH SAYANG ALLAH

Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Baginda s.a.w.: "Firman Allah taala: Wajib mendapatkan kasih sayang-Ku bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, orang-orang yang saling menziarahi kerana-Ku, dan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana-Ku."

Begitu juga apa yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di sebuah kampung, maka Allah menyediakan baginya di sepanjang jalan malaikat. Apabila malaikat tersebut mendatanginya lantas ia bertanya: Kamu nak ke mana? Dia menjawab: Aku ingin ke rumah saudaraku di kampung ini. Malaikat itu bertanya lagi: Adakah di sana bagi kamu nikmat yang kamu kejar? Dia menjawab: Tidak ada, melainkan aku mengasihinya kerana Allah. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah mengasihimu sebagaimana kamu mengasihinya."

SESUNGGUHNYA MEREKA BERADA DI SYURGA ALLAH DAN KEREDHAAN-NYA

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh at-Tarmiziy daripada Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Baginda bersabda: "Barangsiapa yang yang melawat orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah nescaya berserulah kepadanya satu seruan: Sesungguhnya kamu telah menempah tempat kamu di syurga."


SESUNGGUHNYA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG DAPAT MENGECAP KEMANISAN IMAN

Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Nabi s.a.w. Sesungguhnya baginda bersabda: Tiga perkara barangsiapa yang berjaya mencapainya nescaya akan mengecap kemanisan iman: 1. Bahawa dia mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain. 2. Bahawa dia tidak mencintai saudaranya melainkan kerana Allah. 3. Dan dia benci kembali kepada kekufuran setalah diselamatkan oleh Allah sebagaimana dia tak suka dirinya dicampakkan ke neraka."

Demikianlah sahabat-sahabat kelebihan di dunia dan akhirat yang melingkari orang-orang yang meniti di atas titian ukhuwah fillah, dan mereka yang mengerahkan usaha dan upaya untuk menjadi hamba Allah yang bersaudara.


Ternyata sesungguhnya orang-orang yang bersaudara kerana Allah berseri-seri wajah mereka disapa cahaya iman, bertebaran dosa-dosa mereka seperti dedaun yang berterbangan di kala angin bertiup, dinaungi Allah di bawah bayangan arasynya di hari kiamat, dilimpahkan kepada mereka kasih sayang Allah, ditempatkan di laman syurga-Nya, sehingga mereka dapat mengecapi dalam jiwa mereka kemanisan iman dan keindahan Islam.

Alangkah bahagianya saat tangan orang-orang mukmin itu bersalaman dengan penuh kasih sayang, dan jiwa-jiwa mereka bertaut atas ikatan ukhuwah fillah.

Alangkah tinggi martabat mereka di sisi Allah, alangkah mulia kedudukan mereka di kalangan para malaikat; tatkala mereka meniti di titian persaudaraan, pemuafakatan dan kasih sayang.

1 comments:

Anonymous said...

saya gunakan untuk rujukan, terima kasih, :)

 

Setting Up Blog Using Blogger | Design By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox or IE7 or Higher