Saturday, June 28, 2008

SYARAT-SYARAT UKHUWAH FILLAH

3. SYARAT-SYARAT UKHUWAH FILLAH

Terdapat beberapa syarat dan asas bagi ukhuwah fillah. Tidak akan terbentuk ukhuwah fillah melainkan setelah dipenuhi syarat-syarat tersebut, dan tidak mungkin ia diterima di sisi Allah kecuali setelah orang-orang Islam menyelusuri jalannya dan setelah mereka mengambil yang sebaik-baiknya.

Maka di sini dihidangkan antara syarat-syarat dan asas-asasnya yang terpenting. Mudah-mudahan ia menjadi peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau mendengarkan (pengajaran), sedang dia (hatinya) hadir.

1. Hendaklah persaudaraan itu ikhlas kerana Allah:

Keikhlasan ini tidak mungkin tercapai melainkan setelah dibersihkan jiwa orang-orang yang bersaudara daripada sebarang bentuk maslahat diri, dan disucikan daripada segala kepentingan peribadi. Maka ketika itulah ukhuwah akan menghasilkan buahnya, dan merealisasikan hasilnya dan kesan-kesan positifnya dalam masyarakat.

Kepentingan ikhlas dalam hubungan persaudaraan telah disebutkan di dalam hadis riwayat Muslim yang telah lalu. Tentang pertanyaan malaikat kepada seorang lelaki yang menziarahi saudaranya di sebuah kampung: "Ke mana kamu ingin pergi? Lelaki itu menjawab: Aku ingin menziarahi seorang saudara di kampung ini. Malaikat bertanya lagi: Adakah di sana habuan bagi kamu yang kamu kejar? Kata lelaki itu: Tidak, melainkan aku sesungguhnya mengasihinya kerana Allah. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah menyayangi kamu sebagaimana kamu menyayanginya."

2. Hendaklah persaudaraan itu disertakan dengan iman dan takwa:

Hal ini tidak dapat dicapai sehinggalah seorang muslim memilih sahabatnya di kalangan orang yang beriman, yang paling suci hatinya dan yang paling bertakwa.


Kepentingan iman dan takwa telah disebutkan dalam firman Allah taala: "Orang-orang mukmin itu adalah bersaudara" [49:10] "Pada hari itu (kiamat) orang-orang berteman, setengah mereka bermusuh-musuhan terhadap yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." [43:67]

Telah meriwayatkan Abu Daud dan at-Tarmizi daripada Abi Sa'id al-Khudriy r.a daripada Nabi s.a.w.: "Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman."

Daripda Abu Hurairah r.a. Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Seseorang itu mengikut agama temannya. Maka hendaklah setiap orang daripada memperhatikan siapakah yang dijadikan teman."

Apabila persaudaraan itu disertakan dengan iman dan takwa, maka jadilah ia lebih kukuh daripada gunung dan lebih kuat daripada bangunan pencakar langit. Bahkan tidak mungkin dapat digegarkan dan digugah sepanjang zaman.

3. Hendaklah persaudaraan itu melazimi dasar-dasar Islam:

Yang demikian itu tidak mungki berhasil sehinggalah dua orang yang bersaudara itu berjanji melaksanakan syariat Allah, dan kembali kepada petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap situasi dan keadaan.

Perkara ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya iaitu:

"2 lelaki yang saling berkasih sayang di jalan Allah. Bertemu di atasnya dan berpisah di atasnya jua." (atas janji untuk melazimi dan melaksanakan syariat Allah saat pertemuan dan perpisahan.

Lantaran itulah para sahabat Nabi s.a.w. apabila mereka bertemu, mereka tidak akan berpisah melainkan setelah salah seorang membacakan surah al-Asr kepada sahabatnya yang lain yang sejurus kemudian memberi salam.

Ini bermakna bahawa mereka sama-sama berjanji untuk melaksanakan syariat Islam, berjanji untuk melazimi iman dan amalan yang baik, berjanji untuk berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran, dan berjanji supaya mereka menjadi umat yang menegakkan dan mempertahankan agama ini.


4. Hendaklah persaudaraan itu tertegak atas usaha saling menasihati kerana Allah:

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku sehingalah seorang itu menjadi cermin kepada saudaranya yang lain. Apabila dia melihat kebaikan yang dilakukan sahabatnya ia lantas memberi semangat dan mendorong supaya menambah amal kebaikan lebih banyak. Manakala apabila dia melihat kekurangan dan kelemahan, dia lantas menasihati sahabatnya secara rahsia, meminta ia bertaubat kepada Allah dan kembali kepada petunjuk dan agama yang benar. Sesungguhnya pada yang demikian itu terserlah usaha tolong menolong pada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan langkan yang drastik untuk membentuk peribadi yang bersaudara atas asas Islam dan neraca syariat.

Atas dasar nasihat yang ikhlas kerana Allah inilah para sahabat berjanji setia dengan Nabi s.a.w. Supaya mereka menjadi pendakwah yang benar, petunjuk yang baik, dan golongan yang sentiasa menyeru kepada kebajikan di mana sahaja mereka berada dan ke mana sahaja mereka pergi.


Bahkan kita mendapati Nabi s.a.w. mewajibkan setiap mukmin itu menjadi penasihat bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, bagi pemimpin Islam dan seluruh umatnya.

Diriwayatkan oleh Muslim daripada Nabi s.a.w.: "Agama itu nasihat. Lalu kami bertanya: Bagi siapa ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab: Bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, bagi pemimpin Islam dan seluruh umatnya."

3 comments:

Capt MUHAMMAD Azhar said...

Mana sambungannya lagi Ustazah? Sambung lagi sambung...

Unknown said...

http://ukhuwahfillahmuslimat.blogspot.co.id/2016/03/assalamualaikum-muslimat.html?m=1

Unknown said...

http://ukhuwahfillahmuslimat.blogspot.co.id/2016/03/assalamualaikum-muslimat.html?m=1

 

Setting Up Blog Using Blogger | Design By iEn © 2008 | Best Screen Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox or IE7 or Higher